ASPEK KESELAMATAN DALAM KOMUNITI BERPAGAR DAN BERPENGAWAL (GGCs): PERUMAHAN TERES
Abstract
Komuniti berpagar dan berpengawal adalah suatu perkara yang tidak asing lagi pada masa kini. Sebelum ini, konsep komuniti berpagar dan berpengawal ini hanya diaplikasikan dalam kawasan kondominium mewah dan apartment tetapi, pada masa kini, konsep ini digunapakai oleh pemaju pada kawasan perumahan mendatar, terutama selepas pindaan dibuat ke atas Akta Hakmilik Strata 2007 pada tahun 2010. Secara umumnya, komuniti berpagar dan berpengawal adalah komuniti berdinding atau dipagari oleh sempadan dan akses awam adalah terhad, selain dilengkapi dengan pelbagai aspek keselamatan untuk membendung jenayah dan menjamin keselamatan penduduk. Namun,terdapat banyak isu yang timbul seperti keberkesanan aspek keselamatan yang disediakan pemaju dan tahap keselamatan penduduk. Justeru, kajian dijalankan untuk mengenalpasti keberkesanan aspek-aspek keselamatan yang diaplikasikan di dalam komuniti ini dan juga mengenalpasti persepsi penduduk terhadap tahap keselamatan di sini. Maklumat kajian diperoleh daripada sumber primer dan sekunder. Data primer diperoleh melalui borang kaji selidik yang melibatkan seratus responden yang terdiri daripada pihak pengurusan dan penduduk di kawasan komuniti berpagar dan berpengawal di Johor Bahru, Malaysia. Kajian ini mendapati terdapat perbezaan pendapat mengenai keberkesanan aspek keselamatan yang disediakan dari pandangan pihak pengurusan dan penduduk. Secara keseluruhannya, kajian ini mendapati penduduk berada dalam keadaan yang selamat. Walaupun jenayah telah berlaku di kawasan kajian, namun pihak pengurusan telah mengambil inisiatif untuk memperketat lagi sekuriti selain menyelia aspek keselamatan yang disediakan dengan lebih teliti.