FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEJAYAAN KOMUNITI ORANG ASLI MAH MERI DALAM PELANCONGAN BERASASKAN KOMUNITI
Abstract
Pelancongan berasaskan komuniti merupakan satu pendekatan baru dalam mengatasi masalah kemiskinan dan tidak ramai komuniti Orang Asli mengambil peluang dari aktiviti ini. Namun ia berbeza dengan komuniti Mah Meri yang telah berjaya menikmati faedah melalui penglibatan dalam pelancongan. Justeru itu, kajian ini dilaksanakan untuk meneroka faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan komuniti Mah Meri dalam pelancongan berasaskan komuniti. Temu bual secara semi struktur merupakan kaedah utama yang digunakan dalam kajian di mana ia melibatkan seramai 11 orang peserta kajian. Peserta kajian dipilih menggunakan kaedah persampelan bertujuan dan dibantu teknik bebola salji. Faktor dalaman dan faktor luaran merupakan penemuan penting yang menyokong pembangunan potensi serta keupayaan komuniti melalui perubahan minda, sikap dan tingkah laku. Faktor dalaman seperti sikap, motivasi, keusahawanan, tadbir urus, pengalaman, kemahiran dan ideologi merupakan atribut psikologi asli yang mempengaruhi kejayaan komuniti Mah Meri disokong pula dengan faktor luaran seperti sistem sokongan, jaringan kerjasama dan imej. Integrasi faktor dalaman dan faktor luaran telah mempengaruhi kejayaan komuniti Mah Meri dalam pelancongan berasaskan komuniti yang dapat dijadikan rujukan dan panduan kepada komuniti terpinggir lain dalam memajukan diri melalui aktiviti pelancongan.