KEPUASAN PELAJAR KURANG UPAYA (OKU) TERHADAP PENYEDIAAN KEMUDAHAN DI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
Abstract
Malaysia merupakan sebuah negara yang mengiktiraf aspek pendidikan bagi semua golongan termasuklah golongan kurang upaya (OKU) selaras dengan Akta OKU 2008 yang menyatakan golongan ini tidak akan dikecualikan daripada sistem pendidikan atas kekurangan dan ketidakupayaan mereka. Walaupun pelajar kurang upaya (OKU) merupakan kumpulan minoriti yang terdapat di institusi-institusi pengajian tinggi namun ini tidak bermakna keperluan mereka tidak perlu diberi perhatian. Persekitaran pembelajaran yang kondunsif dan mudah diakses merupakan keperluan utama pelajar kurang upaya. Kegagalan pihak IPT dalam menyediakan kemudahan dan infrastruktur asas dalam menghasilkan suasana pembelajaran yang kondunsif dan mesra OKU merupakan satu bentuk diskriminasi yang tidak sepatutnya berlaku kepada golongan ini. Pelaksanaan Pendidikan Inklusif merupakan insiatif negara dalam memberi ruang pendidikan yang selesa kepada golongan OKU. Kemudahan yang mesra OKU dan mudah diakses akan membantu pelajar kurang upaya untuk menjalani kehidupan di kampus dengan selesa. Objektif utama kajian ini dijalankan adalah untuk mengetahui sejauh mana kepuasan pelajar kurang upaya terhadap penyediaan kemudahan yang disediakan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kajian ini menggunakan teknik temu bual tidak berstruktur melalui kaedah kualitatif. Kaedah ini dipilih supaya dapat memberi ruang kepada responden kajian untuk berkongsi pengalaman serta pendapat mereka sendiri terhadap kemudahan yang disediakan. Soalan temu bual diolah berdasarkan kajian lepas dan persekitaran tempat kajian dijalankan. Oleh itu, kajian ini dijalankan bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar kurang upaya untuk hidup dalam keadaan yang selesa dan menikmati semua kemudahan yang disediakan seperti pelajar tipikal sepanjang pengajian mereka di kampus.