KECENDERUNGAN GRADUAN PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK TERHADAP KEUSAHAWANAN
Abstract
Isu kebolehpasaran dan kebolehgajian graduan sering dipaparkan di media sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. Graduan hari ini dituntut untuk menguasai pelbagai kemahiran termasuk keusahawanan sebagai persediaan meneroka kerjaya masa hadapan sekaligus memenuhi kehendak industri. Objektif kajian ini adalah untuk meninjau faktor-faktor yang mempengaruhi kecenderungan kalangan penuntut-penuntut program pendidikan awal kanak-kanak terhadap keusahawanan. Ianya diukur daripada dimensi dalaman iaitu minat dan motivasi serta dimensi luaran iaitu pengetahuan & kemahiran keusahawanan dan pemilikan modal. Kajian ini melibatkan penuntut sarjana muda tahun akhir di sebuah universiti swasta. Analisis data berdasarkan maklum balas yang diperoleh melalui borang soal selidik yang diedarkan secara terkawal. Para penuntut diberi peluang bersoal-jawab dengan penyelidik berkaitan kehendak setiap item soalan. Dapatan kajian menunjukkan kesemua empat faktor menerima 15 – 19% pilihan keutamaan. Ia menggambarkan setiap faktor dianggap sama penting oleh kalangan penuntut dalam mempengaruhi mereka menceburi bidang keusahawanan. Peratusan lebih besar (30.2%) berpendapat kesemua faktor tersebut tidak berkaitan antara satu sama lain. Mereka beranggapan kepentingan modal permulaan adalah untuk penggajian (21.7%) dan menyediakan fasiliti (17.9%), walaupun sebahagiannya (17.5%) tidak pasti. Para penuntut berpendapat kepentingan utama pengetahuan adalah untuk mengenalpasti masalah (23.95%) dan membuat keputusan berkaitan permasalahan tersebut (20.4%). Hasil kajian dapat dijadikan petunjuk kepada institusi untuk menilai keberkesanan kurikulum dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan diterima industri khususnya daripada aspek keusahawanan