BUDAYA KERJA DALAM KALANGAN STAF SOKONGAN DI IPG KAMPUS ILMU KHAS, KUALA LUMPUR
Abstract
Kajian ini dijalankan untuk mengkaji budaya kerja dalam kalangan staf sokongan di IPG Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Kuala Lumpur. Sampel kajian ini terdiri daripada 27 orang staf sokongan yang bertugas di pelbagai Unit dan Jabatan di IPGKIK. Kajian ini menggunakan mixed method dengan menjadikan pendekatan kuantitatif melalui instrumen soal selidik sebagai rujukan utama. Dapatan kajian menunjukkan bahawa secara keseluruhannya prestasi kerja staf sokongan IPGKIK berada pada tahap tinggi dengan cacatan min 4.13. Seterusnya dapatan kajian juga menunjukkan bahawa motivasi kerja dan komitmen kerja staf sokongan IPGKIK berada pada tahap sederhana tinggi dengan masing-masing mencatatkan min 3.92. dan 3.98. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa 59.3% (16 orang) telah menyatakan bahawa latihan yang mereka terima adalah mencukupi dalam melaksanakan tugasan seharian dan 81.5% (22 orang) menyatakan bahawa latihan yang dilaluinya menyumbang kepada peningkatan kemahiran kerja. Seterusnya pengkaji mencadangkan agar pihak pengurusan IPGKIK berusaha untuk meningkatkan motivasi kerja dan komitmen kerja dalam kalangan staf sokongan di kampus dengan mengadakan kursus-kursus motivasi yang sesuai dengan keperluan dalam perkhidmatan. Pihak pengurusan juga disaran agar menyusun semula penempatan staf sokongan di kampus agar mereka mendapat suasana kerja yang berlainan dan seterusnya dapat meningkatkan motivasi dan komitmen kerja masing-masing demi meningkatkan prestasi institusi.