Program transformasi keusahawanan bagi memperkasakan ekonomi pelajar asnaf
Keywords:
Keusahawanan, Pengurusan kewangan, Program TransformasiAbstract
Keusahawanan adalah keupayaan dan kemahiran dalam menguruskan perniagaan. Sektor keusahawanan sangat penting dalam menentukan kemajuan ekonomi sesebuah negara. Bidang keusahawanan merupakan pilihan kerjaya yang digemari oleh generasi muda khususnya di negara maju. Walaubagaimanapun, kajian lepas hanya memberi fokus kepada faktor-faktor yang mempengaruhi sikap pelajar asnaf di IPT terhadap bidang keusahawanan. Sehingga kini, kekurangan kajian khusus yang membuat pemantauan kepada kemahiran keusahawan pelajar dalam menguruskan perniagaan dan dapat menjana pendapatan yang lebih konsisten. Oleh itu, objektif kajian ini ialah (i) Mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi kecenderungan pelajar asnaf dalam menceburi bidang keusahawanan. (ii) Meneroka penglibatan pelajar asnaf selepas program tranformasi keusahawanan yang dijalankan dan (iii) Memantau keberkesanan program tranformasi keusahawanan di kalangan pelajar asnaf. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kualitatif dengan memfokuskan kepada kajian kes. Bagi mencapai objektif pertama kajian, sorotan literatur dan temu bual dijalankan kepada responden untuk mendapatkan maklumat berkaitan faktor-faktor yang mempengaruhi kecenderungan pelajar asnaf dalam bidang keusahawanan. Seterusnya, kajian empirikal dilakukan kepada beberapa pelajar asnaf di UiTM Perlis bagi menganalisis elemen yang boleh diaplikasikan dalam program tranformasi keusahawanan (objektif kedua). Kemudian diikuti dengan pemantauan program tranformasi keusahawanan di kalangan pelajar asnaf. Oleh yang demikian, dengan kajian ini dapat merangkumi skop pembangunan asnaf di kalangan pelajar UiTM Perlis dari aspek rohani, ilmu, kemahiran teknikal, dan pengurusan ekonomi. Justeru, adalah amat penting untuk membuat kajian tentang keberkesanan program yang dijalankan secara teori dan praktikal di kalangan pelajar asnaf di Institusi Pengajian Tinggi Awam dengan memfokuskan dalam bidang keusahawanan.