KEBERKESANAN PENGGUNAAN ICT: PENGAJIAN TAHFIZ DALAM TALIAN (PELAJAR AKADEMI AL-KHAYR)
Abstract
Kemajuan teknologi yang pesat membangun seiring dengan arus pemodenan telah menyumbang kepada perkembangan mempelajari dan menghafal Al-Quran di Malaysia. Keadaan ini dapat dilihat apabila banyak pusat pengajian tahfiz menawarkan kelas yang dijalankan secara dalam talian contohnya Akademi Al-Khayr. Namun begitu, keberkesanan sesi pengajian tahfiz secara dalam talian di Akademi al-Khayr diragui kerana cabaran yang dihadapi dalam penggunaan ICT seperti isu-isu teknikal dan aksesibiliti, di mana berlakunya ketidakstabilan rangkaian atau ketidakupayaan untuk mengakses peranti ICT dengan sebaiknya yang boleh menyebabkan gangguan dalam proses penghafalan dan semakan mereka. Oleh itu, kajian ini dijalankan bagi menganalisis bentuk-bentuk kekangan dan masalah yang menyukarkan proses pengajian tahfiz secara dalam talian di Akademi al-Khayr. Kajian ini juga mampu menjadi kayu ukur dalam menilai tahap keberkesanan pengajian tahfiz secara dalam talian di akademi tersebut. Untuk mencapai objektif kajian, kajian dijalankan secara kaedah kualitatif iaitu melalui kaedah pemerhatian serta kaedah perpustakaan. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa penggunaan ICT mampu meningkatkan penglibatan pelajar dan memperluas akses mereka kepada medium pengukuhan hafazan. Walau bagaimanapun, dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa perlunya sokongan teknikal kepada pelajar dan tenaga pengajar bagi menambahbaik keberkesanan penggunaan ICT dalam pengajian tahfiz. Tuntasnya, penggunaan ICT penting dan diperlukan dalam mempermudah sesi pengajian tahfiz yang bukan hanya tertumpu di pusat pengajian semata-mata bahkan boleh dilaksanakan secara fleksibel secara dalam talian.