KAJIAN PEMANTAPAN AQIDAH ORANG KURANG UPAYA (OKU) PENDENGARAN MELALUI KISAH NABI ISA
Abstract
Kebelakangan ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi membantu komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran mempelajari pendidikan berkaitan Islam antaranya pembangunan aplikasi Quran Isyarat, penganjuran kelas-kelas fardu Ain berbahasa isyarat dan sebagainya. Namun begitu, program tersebut masih belum dapat diperkasa sepenuhnya terhadap golongan ini lantaran kurangnya tenaga pengajar yang menguasai bahasa isyarat disamping platform yang digunakan hanya dapat diakses oleh komuniti OP tertentu. Dalam Islam, akidah merupakan ilmu utama yang perlu dipelajari dan diperkukuhkan disamping ilmu fardu ain yang lain. Pengukuhan kefahaman berkaitan akidah terhadap golongan OKU Pendengaran amat penting agar mereka dapat mendalami Islam dengan lebih baik seterusnya meningkatkan lagi kepercayaan terhadap agama ini. Justeru, kajian ini akan mengenalpasti ayat-ayat al-Quran berkaitan kisah Nabi Isa AS yang menyentuh tentang aspek pemahaman dan penghayatan terhadap akidah. Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang menumpukan analisis ayat al-Quran berdasarkan konteks situasi yang terdapat dalam kisah Nabi Isa AS. Hasil kajian mendapati bahawa kefahaman dan penghayatan OKU pendengaran terhadap ilmu akidah masih berada pada tahap yang rendah. Walaubagaimanapun, tauladan yang terdapat dalam kisah Nabi Isa AS ini wajar digunakan sebagai petunjuk untuk memberi kefahaman akidah kepada komuniti ini. Kajian ini mencadangkan agar kisah dakwah kepada tauhid oleh para Anbiya yang terdapat dalam al-Quran diterjemahkan ke bahasa isyarat agar komuniti OP terdedah kepada ilmu akidah dengan lebih meluas dan mudah.