ADAB BERINTERAKSI DI MEDIA SOSIAL MENURUT AL-QURAN DAN SUNNAH
Abstract
Media sosial merupakan satu platform penting dalam menyalurkan sesuatu maklumat. Malah, ia turut menjadi suatu keperluan utama dalam perhubungan masyarakat untuk berkomunikasi melalui jaringan sosial seperti Facebook, Twitter, dan Instagram. Konsep komunikasi hari ini mengalami perubahan seiringnya peredaran zaman. Jika sebelum ini berita disampaikan menerusi televisyen hitam putih, kini media sosial telah pun menjadi suatu ruang baharu kepada masyarakat untuk berhubung dengan mudah serta mendapatkan maklumat di hujung jari. Apabila komunikasi dan maklumat semakin mudah dicapai, maka semakin mudah untuk seseorang itu bebas mengekspresikan diri termasuk memberi komen tanpa kawalan di media sosial. Ia berbeza daripada komunikasi sebelum ini yang tiada ruang kritikan atau ulasan yang dapat diberikan kerana segalanya melalui tontonan dan suara. Sebaliknya pada hari ini, masyarakat bebas untuk mengulas apa sahaja isu. Natijahnya, timbulnya beberapa komen yang tidak sepatutnya seperti memberi komen yang berunsur negatif atau mengkritik sehingga membuka aib. Justifikasinya, apabila adab ketika berinteraksi di media sosial tidak dititikberatkan, maka ia akan menimbulkan konflik sehingga mengganggu keharmonian sesebuah masyarakat. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji bagaimana adab dan akhlak yang sebenar menurut al-Quran dan Sunnah dalam memberi komen serta pandangan terhadap sesuatu isu, terutama yang berkaitan hal keagamaan. Jenis kaedah yang digunakan dalam kajian ini adalah kaedah kualitatif iaitu melalui kajian perpustakaan dengan merujuk kitab-kitab yang bersumberkan al-Quran dan Hadith. Hasil kajian ini mendapati bahawa pentingnya menjaga adab serta akhlak ketika berinteraksi di media sosial demi mengekalkan keharmonian dalam kehidupan masyarakat. Antara adab yang perlu ditekankan adalah menjaga tutur kata ketika memberi komen dengan berkata yang benar, tidak mengumpat, tidak mencela atau memaki dan lain-lain. Justeru, diharapkan kajian ini dapat memberi manfaat dan pengetahuan kepada masyarakat umum untuk berfikir dahulu sebelum bertindak di samping memelihara adab ketika mengulas berkaitan isu-isu yang tular di media sosial.