KONSEP DAN APLIKASI NILAI SPIRITUAL DALAM PENGURUSAN BUDAYA KERJA ISLAM
Abstract
Islam membimbing manusia mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kehidupan dunia merupakan parameter kepada pencapaian di akhirat. Pekerjaan manusia bukan sahaja dinilai sebagai mekanisme asas untuk menetapkan upah dan pengiktirafan, malahan ia turut mencakupi pembalasan di akhirat kelak. Budaya kerja merupakan sebahagian daripada kerangka pembangunan ekonomi Islam yang bersifat komprehensif dan berbilang dimensi. Artikel ini membincangkan kesepaduan antara elemen spiritual seperti akidah, syariah dan akhlak dengan pembentukan budaya kerja. Kesepaduan ini berkeupayaan melahirkan personaliti yang bukan sahaja mengejar kemajuan diri sendiri, malahan turut melindungi kepentingan manusia dan alam sejagat. Berasaskan analisis terhadap ayat-ayat al-Quran, Hadith dan pandangan sarjana Islam, nilai spiritual yang difahami dan diamalkan berdasarkan ilmu yang ditafsirkan dengan cara yang sewajarnya berkeupayaan membentuk budaya kerja yang cemerlang. Dalam melakukan sebarang pekerjaan, manusia bebas bertingkahlaku dan membuat pilihan berdasarkan daya taakulan serta ilmu yang dimilikinya selagi ia tidak terkeluar daripada lingkungan nilai-nilai qat‘i yang ditetapkan oleh Allah S.W.T