SUMBANGAN KARYA ULAMA PROLIFIK PEHIN SIRAJA KHATIB ABDUL RAZAK BIN HASANUDDIN: ASAS PENGETAHUAN ISLAM BAGI MASYARAKAT BRUNEI
Abstract
Pehin Siraja Khatib Abdul Razak bin Hasanuddin merupakan pengarang prolifik yang giat menghasilkan karya penulisan dalam bidang pengajian Islam di Brunei Darussalam. Selaku Kadi Brunei sejak pemerintahan Sultan Muhammad Jamalul Alam II di awal kurun ke duapuluh, beliau diiktiraf sebagai Ulama Brunei yang merupakan salah seorang pengiat da’wah tanah air dalam perkembangan pendidikan Islam di Brunei terutama sekali di Kampong Ayer. Objektif kajian ini adalah untuk mengetengahkan hasil penulisan beliau dalam pendidikan Islam yang beliau terapkan di Balai iaitu tempat pengajian ugama Islam bagi penduduk Brunei yang menetap di Sungai Brunei suatu ketika dahulu terutama sekali dalam bidang tauhid dan munakahat serta karya syair beliau bertajuk Shaer Yang di-Pertuan yang telah diterbitkan oleh pihak Muzium Brunei sebagai bahan kajian utama penulis. Kehebatan beliau dalam dunia penulisan menarik perhatian penulis untuk membuat kajian mengenainya kerana beliau satu-satunya Ulama Brunei yang mampu mendokumentasikan mengenai Brunei di bawah pemerintahan Residen British dalam bentuk syair serta berjaya menghasilkan buku teks pendidikan Islam bagi rakyat tempatan Brunei ketika itu. Disamping itu juga, karya beliau dalam pengajian Islam ini masih dalam bentuk manuskrip yang sempat disalin dalam bentuk tulisan jawi. Adapun sumbangan beliau dalam aspek sejarah juga jarang diperbincangkan secara meluas memandangkan beliau melaporkannya dalam bentuk syair loghat Brunei klasik tulisan jawi dan ditransliterasikan dalam tulisan rumi oleh pihak Muzium Brunei bagi penerbitannya. Untuk mencapai objektif ini, penulis menggunakan konsep Melayu Islam Beraja sebagai sandaran untuk menganalisis karya beliau sebagai satu kajian awal memandangkan karya beliau yang sampai kepada generasi masyarakat sekarang adalah merupakan salinan semata-mata yang sempat disalin oleh anak murid sebelum karya asli beliau musnah dalam kebakaran semasa pendudukan Jepun di Brunei pada tahun 1941-1945. Hasil daripada kajian ini, secara tidak langsung dapatlah mengetahui perkembangan serta memperkenalkan buku teks dalam pendidikan Islam yang dihasilkan oleh anak tempatan Brunei sendiri selain daripada kitab-kitab turath yang didatangkan daripada luar negeri sebagai satu inisiatif terbesar ulama dalam menyampaikan asas pengetahuan Islam yang mudah dan sesuai diterima oleh masyarakat tempatan Melayu Brunei sebelum peralihan pendidikan wajib dilaksanakan di sekolah-sekolah semasa di bawah Residen British.