PEMERDAGANGAN MANUSIA DI MALAYSIA: ISU DAN PANDANGAN ISLAM
Abstract
Ancaman bukan ketenteraan dilihat semakin mendominasi agenda politik dunia antaranya termasuklah isu pemerdagangan manusia, pengedaran dadah, penyeludupan migran asing dan sebagainya. Isu pemerdagangan manusia merupakan isu global yang melanda kebanyakan negara di dunia termasuklah Malaysia. Selaku negara yang mengiktiraf hak asasi manusia, Malaysia menolak sekeras-kerasnya perbuatan memperdagangkan orang. Hal ini juga bertepatan dengan pandangan Islam yang turut menegah pemerdagangan manusia. Tujuan artikel ini ditulis adalah bagi membincangkan isu pemerdagangan manusia yang berlaku di Malaysia dan pandangan Islam terhadap isu ini. Artikel ini membincangkan tentang beberapa aspek pemerdagangan manusia di Malaysia termasuklah kedudukan Malaysia dalam isu ini serta pandangan Islam terhadap isu pemerdagangan manusia yang merangkumi hadis larangan memperdagangkan manusia dan pemerdagangan manusia dari sudut maqasid syariah. Artikel ini menggunakan pendekatan kualitatif iaitu melalui kajian perpustakaan. Bahan-bahan seperti Al-Quran, tafsir Al-Quran, buku, jurnal ilmiah, internet dan laporan kerajaan telah dianalisis untuk mendapatkan maklumat bagi melengkapkan artikel ini.