TREND PENERBITAN PENYELIDIKAN KEPIMPINAN KESELAMATAN: SEBUAH TINJAUAN BIBLIOMETRIK

Authors

  • Khairul Hafezad Abdullah
  • Haniff Riza Abdul Hadi

Abstract

Kepimpinan keselamatan merupakan sebuah seni pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang wajar dimiliki oleh setiap pemimpin. Penyelidikan kepimpinan keselamatan dapat memberikan maklumat mengenai gaya kepimpinan keselamatan yang wajar dipraktikkan di sesebuah organisasi. Kajian ini membincangkan analisis bibliometrik untuk meneroka trend penerbitan dan mengulas maklumat makalah penyelidikan kepimpinan keselamatan dalam pangkalan data Scopus. Sebanyak 575 makalah penyelidikan kepimpinan keselamatan telah dianalisis menggunakan perisian VOSviewer dan Publish or Perish. Dengan menggunakan petunjuk analisis bibliometrik standard, kajian ini mendapati trend penerbitan adalah tidak konsisten. Negara penerbitan aktif yang menerbitkan makalah penyelidikan kepimpinan keselamatan ialah Amerika Syarikat dan United Kingdom. Sumber makalah yang paling aktif dan berpengaruh ialah Safety Science. Makalah penyelidikan kepimpinan keselamatan telah diterbitkan oleh ahli akademik dan penulis profesional. Berdasarkan analisis kata kunci pengarang, kata kunci “safety leadership”, “safety climate”, dan “safety behaviour” mempunyai hubungan yang signifikan. Perkara ini bermaksud penyelidikan kepimpinan keselamatan mempunyai perkaitan dengan iklim keselamatan dan gelagat keselamatan. Sementara itu, menerusi analisis kandungan abstrak, terma “safety leadership”, “employee”, “safety climate” dan “worker” sering ditulis serentak dalam abstrak. Secara tidak langsung, perkara ini menggambarkan bahawa konsep kepimpinan keselamatan melibatkan hubungan antara pengurus, pekerja, dan iklim keselamatan. Sebagai kesimpulan, kajian ini dapat mencetuskan dimensi penyelidikan baharu berkaitan kepimpinan keselamatan dengan memberikan idea kepada pembaca dan penyelidik akan datang mengenai hubungan antara kata kunci yang terhasil. Pada masa yang sama, penyelidik akan datang dapat meneroka dengan lebih luas dimensi-dimensi penting yang lain berkaitan kepimpinan keselamatan yang dapat memberikan sumbangan signifikan dalam kajian pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Downloads

Published

2023-03-31