INTEGRITI DALAM AGIHAN BANTUAN KEWANGAN OLEH KERAJAAN PERSEKUTUAN DI MALAYSIA BERDASARKAN INDEKS PEMBANGUNAN LESTARI ISLAM

Authors

  • Ahmad Nazrul Alif Yahya
  • Noor Amilatul Najwa Ahmad Sobri
  • Wan Norhaniza Wan Hasan

Abstract

Kertas kerja ini bertujuan untuk menganalisis integriti dalam agihan bantuan kewangan oleh kerajaan persekutuan di Malaysia. Pelaksanaan bantuan kewangan oleh kerajaan persekutuan dapat ditentukan dengan adanya kakitangan, staf atau penjawat awam yang berkualiti yang mampu membawa kejayaan pada setiap pelaksanaan bantuan kewangan. Sifat telus, amanah dan bertanggungjawab adalah perkara penting bagi setiap individu dalam menjayakan pelaksanaan tersebut supaya dapat berkhidmat dengan baik demi kepentingan masyarakat. Dengan kata lain, integriti ini bukan sahaja melibatkan tindakan baik yang perlu dilakukan dalam setiap tugasan yang diamanahkan, malah ia juga berkait rapat dengan ajaran agama dan nilai tanggungjawab sebagai seorang manusia. Hakisan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam akan mengakibatkan kepincangan dalam pentadbiran dan pelaksanaan bantuan kewangan. Persoalannya, bagaimanakah kepincangan yang berlaku dalam pelaksanaan bantuan kewangan tersebut? Kertas kerja ini mempunyai dua objektif. Pertama mengenal pasti organisasi pelaksanaan bantuan kewangan oleh kerajaan persekutuan di Malaysia. Kedua, menganalisis dan merumuskan integriti dalam pelaksanaan bantuan kewangan oleh kerajaan persekutuan berdasarkan Pelan Anti-Rasuah Nasional 2019-2023. Analisis ini dilakukan dengan menggunakan kaedah kajian dokumen dan analisis kandungan. Kajian ini mendapati unsur integriti dalam agihan bantuan kewangan dalam kalangan agensi kerajaan persekutuan di Malaysia tidak melibatkan isu ketirisan dana bantuan sebaliknya lebih melibatkan proses, tempoh dan kecekapan pelaksanaan agihan.

Downloads

Published

2020-12-31