PENGLIBATAN USAHAWAN ORANG ASLI BERDAFTAR DI BAWAH PENGELOLAAN JABATAN KEMAJUAN ORANG ASLI (JAKOA)
Abstract
Orang Asli (OA) merupakan orang asal yang tinggal di Malaysia sejak kira-kira 5,000 tahun yang lalu. Masyarakat OA di Malaysia terdiri daripada tiga suku kaum utama dan dibahagikan kepada 18 sub-etnik mengikut adat yang diamalkan serta dialek yang digunakan. Secara umumnya, mereka telah lama terlibat dengan aktiviti keusahawanan. Meskipun begitu, ia dijalankan secara kecil-kecilan dan pasarannya adalah terhad. Berdasarkan potensi bidang keusahawanan dalam menjana pendapatan masyarakat OA, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah memainkan peranan yang penting. Ini termasuklah menggalakkan usahawan OA untuk menjadi usahawan yang berdaftar di bawah JAKOA. Selain diberi pelbagai bantuan dan bimbingan, usahawan OA yang berdaftar mempunyai potensi untuk memasuki pasaran yang lebih besar dan menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi. Sehingga kini, jumlah usahawan OA yang berdaftar masih rendah meskipun terdapat banyak manfaat yang bakal diperoleh. Justeru, semua pihak terutamanya JAKOA mempunyai peranan yang penting dalam menggalakkan usahawan OA untuk berdaftar dengan JAKOA. Hal ini penting bagi memastikan usahawan OA dapat memacu kejayaan dalam bidang keusahawanan dan seterusnya keluar daripada garis kemiskinan.