AMIL DAN PENTAFSIRANNYA SEBAGAI ASNAF ZAKAT DALAM KONTEKS SYARIAH DAN REALITI SEMASA DI MALAYSIA

Authors

  • Marina Abu Bakar
  • Raziah Md Tahir

Abstract

Zakat merupakan antara instrumen jaminan sosial yang diwajibkan oleh Allah SWT kepada golongan asnaf. Zakat diagihkan kepada lapan golongan asnaf termasuk amil. Manakala, amil pula ialah individu yang ditugaskan untuk mengutip dan mengagihkan zakat sesuai mengikut syarak. Walau bagaimanapun, berdasarkan pandangan para fuqaha klasik dalam mentafsirkan amil, didapati bahawa terdapat pelbagai penafsiran yang diberikan untuk golongan ini. Meskipun amil telah dinyatakan secara jelas dalam syarak sebagai antara penerima zakat, namun timbul persoalan tentang cara untuk mengenal pasti ciri-ciri untuk mentafsirkan asnaf amil. Sementara itu, di Malaysia pula, definisi amil didapati berbeza mengikut setiap negeri memandangkan perkara berkaitan zakat termasuk dalam bidang kuasa kerajaan negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Justeru, timbul persoalan apakah pentafsiran asnaf amil yang sesuai berdasarkan syarak dan realiti semasa di Malaysia? Oleh itu, kajian ini dilaksanakan untuk menganalisis pentafsiran asnaf amil dalam konteks syariah dan realiti semasa di Malaysia. Kajian ini mengadaptasi reka bentuk kajian kualitatif, di mana data dikumpul melalui kajian kepustakaan dan melibatkan sumber sekunder serta dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan. Hasil kajian menemui bahawa pentafsiran asnaf golongan amil perlu diperluaskan dalam konteks realiti semasa di Malaysia. Hal ini kerana realitinya, jumlah kutipan zakat yang seringkali meningkat saban tahun dan bilangan asnaf yang kian bertambah menyebabkan zakat perlu diuruskan kutipannya secara sepadu dengan melibatkan pelbagai bidang tugas dan kepakaran. Selain itu, kajian ini turut mendapati bahawa pada dasarnya tafsiran amil di Malaysia adalah sama dengan tafisran yang dilakukan oleh para fuqaha klasik dan telah mengambil kira kehendak syarak dan adat masyarakat tempatan. Namun begitu, masih ada ruang-ruang penambahbaikkan bagi pentafsiran asnaf amil dari masa ke semasa sesuai mengikut peredaran zaman. Implikasinya, kajian ini menggesa pihak-pihak institusi zakat di Malaysia untuk mengambil kira bidang tugas dan kepakaran amil dalam memberi tafsiran asnaf amil yang selari dengan konteks syariah dan realiti semasa di Malaysia. Dari segi disiplin ilmu, kajian ini menambah pengetahuan berkaitan pentafsiran asnaf amil dalam konteks syariah dan realiti semasa di Malaysia. Manakala, dari segi praktikal pula, kajian ini mendorong kepada kajian-kajian lanjutan berkaitan pentafsiran golongan asnaf amil dalam konteks syariah dan realiti semasa oleh sarjana-sarjana Islam kontemporari dalam bidang zakat.

Downloads

Download data is not yet available.

Downloads

Published

2022-12-31

How to Cite

Marina Abu Bakar, & Raziah Md Tahir. (2022). AMIL DAN PENTAFSIRANNYA SEBAGAI ASNAF ZAKAT DALAM KONTEKS SYARIAH DAN REALITI SEMASA DI MALAYSIA. International Journal of Accounting, Finance and Business, 7(45). Retrieved from https://academicinspired.com/ijafb/article/view/574