Pengaruh kesejahteraan di tempat kerja terhadap kecerdasan emosi dan tingkah laku kerja inovatif kumpulan pelaksana di Institut Pengajian Tinggi di Lembah Klang
Keywords:
: Kesejahteraan di tempat kerja, kecerdasan emosi, tingkah laku kerja inovatif, kumpulan pelaksana, Institusi Pengajian Tinggi AwamAbstract
Era pendigitalan telah menyaksikan kepantasan pergerakan sumber manusia dalam pekerjaan. Kepantasan ini menjadi cabaran utama kepada keupayaan mental dan fizikal pekerja bagi memenuhi keperluan organisasi. Penggerak utama dalam perubahan ini adalah kualiti sumber manusia yang menjurus kepada kesejahteraan psikologikal dan tingkah laku yang berinovatif. Percaturan ini telah menyebabkan timbul persoalan tentang pengaruh kesejahteraan tempat kerja terhadap kecerdasan emosi dan tingkah laku kerja inovatif kumpulan pelaksana di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Lembah Klang. Terdapat dua objektif dalam kajian ini iaitu; a) untuk menentukan tahap kesejahteraan tempat kerja, kecerdasan emosi dan tingkah laku kerja inovatif dan b) untuk menganalisis sumbangan pengaruh kesejahteraan tempat kerja terhadap kecerdasan emosi dan tingkah laku kerja inovatif dalam kalangan kakitangan kumpulan pelaksana di IPTA, di Lembah Klang. Kajian tinjauan kuantitatif ini menggunakan instrumen soal selidik untuk kutipan data yang diperolehi daripada seramai 236 orang responden daripada kalangan kakitangan kumpulan pelaksana di IPTA di Lembah Klang. Data yang diperoleh dianalisis dengan menggunakan Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) versi 31 untuk menguji semua hipotesis yang dicadangkan dalam kajian ini. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kesejahteraan di tempat kerja mempengaruhi kecerdasan emosi (F=3.612, p<0.05) dan tingkah laku inovatif (F=2.668, p<0.05) secara signifikan. Analisis juga menunjukkan kesejahteraan di tempat kerja menyumbang sebanyak 72 peratus ke atas kecerdasan emosi dan sebanyak 62 peratus terhadap tingkah laku inovatif dalam kalangan kakitangan sokongan institusi pendidikan tinggi. Dapatan ini menyediakan maklumat kepada pelbagai pihak terutama sekali ketua-ketua pusat tanggungjawab dan pihak pengurusan tertinggi universiti bagi mengurus dan merancang strategi untuk melaksanakan bimbingan dan penambahbaikan terhadap persekitaran kerja agar lebih sejahtera dan harmoni.










