KADAR BAYARAN DAN KESANGGUPAN UNTUK MEMBAYAR (WTP) DI DESTINASI PELANCONGAN TERPILIH DI KOTA BELUD, SABAH
Abstract
Kota Belud adalah sebuah daerah luar bandar di Sabah yang memiliki banyak destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi. Walaupun daerah ini dikategorikan sebagai kawasan luar bandar, masih terdapat ramai pelancong yang sanggup datang kerana kebanyakan destinasi pelancongan di kawasan ini adalah berasaskan tarikan alam semula jadi. Justeru, artikel ini bertujuan untuk meneliti tentang kadar bayaran dan kaitannya dengan kesanggupan pelancong untuk membayar (WTP) di destinasi pelancongan terpilih di Kota Belud, Sabah. Kaedah kajian yang digunakan adalah kaedah kuantitatif dengan melibatkan penggunaan borang soal selidik sebagai instrumen kajian yang utama. Untuk itu, seramai 93 orang responden terlibat dalam kajian ini. Hasil kajian menunjukkan bahawa sebanyak empat destinasi pelancongan didapati mengenakan yuran bayaran masuk manakala tiga daripadanya tidak mengenakan sebarang bayaran untuk masuk ke premis pelancongan mereka. Bagi yuran perkhidmatan, semua destinasi pelancongan yang dikaji didapati mengenakan bayaran tersebut kepada pegunjung yang ingin menggunakan perkhidmatan yang disediakan. Dua dari destinasi pelancongan yang dikaji pula mengenakan yuran aktiviti, iaitu Cabana Retreat dan Melangkap Nabalu Rafflesia. Seramai 53 orang (57%) responden berpendapat kadar bayaran yang dikenakan adalah berpatutan dengan perkhidmatan yang disediakan. Ringkasnya, kajian WTP dan pelbagai bayaran yang dikenakan kepada pelancong dapat membantu pengusaha pelancongan dalam menambah baik fasiliti dan perkhidmatan premis pelancongan mereka.