INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN ORGANISASI DI MALAYSIA BERDASARKAN PRINSIP-PRINSIP PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM
Abstract
Kertas kerja ini bertujuan untuk menganalisis integriti dalam kepimpinan organisasi di Malaysia berdasarkan prinsip-prinsip pembangunan berteraskan Islam. Integriti sering menjadi perkara utama dan normatif apabila dikaitkan dengan kepimpinan. Secara asasnya, setiap kepimpinan perlu ada integriti supaya ia dapat mempengaruhi tingkah laku pemimpin yang mampu memimpin organisasi ke arah kecemerlangan dalam perkhidmatan. Integriti yang ditekankan adalah seperti sifat telus, amanah dan bertanggungjawab merupakan perkara penting bagi setiap pemimpin untuk meningkatkan prestasi kepimpinan dalam organisasi. Dengan kata lain, integriti ini bukan sahaja melibatkan tindakan baik yang perlu dilakukan dalam setiap tugasan yang diamanahkan, malah ia juga berkait rapat dengan ajaran agama dan nilai tanggungjawab sebagai seorang manusia. Persoalannya, bagaimanakah integriti yang diperlukan dalam kepimpinan? Kertas kerja ini mempunyai dua objektif. Pertama, mengenal pasti integriti dan kepimpinan secara asasnya serta prinsip-prinsip pembangunan berteraskan Islam. Kedua, menganalisis dan merumuskan integriti dalam kepimpinan organisasi di Malaysia berdasarkan prinsip-prinisp pembangunan berteraskan Islam. Analisis ini dilakukan dengan menggunakan kaedah kajian dokumen dan analisis kandungan. Kajian ini mendapati unsur integriti dalam kepimpinan organisasi di Malaysia perlu ditingkatkan dengan prinsip-prinsip pembangunan berteraskan Islam supaya integriti pemimpin mampu mencapai keredhaan Allah SWT.